Thursday 19 April 2012

Khaled Nordin pandang hina mahasiswa, Saifuddin kata serangan ‘perlu dibimbangkan’




KUALA LUMPUR, 19 April — Dua pemimpin tertinggi Kementerian Pendidikan Tinggi hari ini memberikan komen mengenai serangan ke atas kumpulan aktivis mahasiswa di Dataran Merdeka, dengan menterinya Datuk Seri Khaled Nordin(gambar) menolak untuk bersimpati sementara timbalannya Datuk Saifuddin Abdullah melahirkan kebimbangan tentang insiden itu.
Di laman Twitter pagi tadi, Khaled memberikan respons berhubung laporan serangan itu mengatakan tiada sesiapa yang mengarahkan kumpulan mahasiswa itu berkhemah di kawasan tumpuan ramai itu.
“Takde siapa pun suruh berkhemah di Dataran, bila berlaku apa2 perkara, jgn tagih simpati,” tulisnya di Twitter.
Tetapi semasa bertemu di Parlimen di sini, Saifuddin berkata beliau lega tiada sesiapa mengalami kecederaan parah dalam insiden pukul 2.45 pagi tadi menambah bahawa ia satu “perkara yang perlu dibimbangkan.”
Ahli Parlimen Temerloh itu juga mengulangi pandangannya bahawa kumpulan mahasiswa itu “mempunyai hak berada di situ” walaupun bukan semua bersetuju dengan tindakan itu.
Kumpulan aktivis mahasiswa itu telah berkhemah di Dataran Merdeka sejak Sabtu lalu selepas ratusan mahasiswa menyertai himpunan aman di bandar raya mendesak kebebasan selepas kecewa oleh terma dan syarat bayar balik skim pinjaman pelajaran tinggi kerajaan.
Namun pagi ini, kumpulan mahasiswa itu mendakwa diserang kira-kira 60 hingga 70 individu tidak dikenali mendesak agar mereka pulang
.

Samseng serang mahasiswa di Dataran Merdeka


(Kanan: Mahasiswa dan orang ramai berkumpul menceritakan detik-detik cemas, namun  semangat mereka tidakluntur.)

Sekumpulan antara 40 hingga 80 samseng berkelakuan biadap apabila menyerang perkhemahan mahasiswa di Dataran Merdeka, kira-kira jam 2.30 pagi.

Berpakaian serba hitam, samseng itu turut meroboh khemah, memukul mahasiwa dan orang ramai yang menyokong perkhemahan dengan menumpu sasaran terhadap mereka yang membawa kamera dan perakam video.



Kejadian itu menyebabkan seorang lelaki terpaksa dihantar menaiki ambulans ke hospital manakala beberapa orang termasuk mahasiswa, ditendang, ditampar dan ditumbuk.

“Saya sedang tidur dalam khemah sebelum terjaga apabila muka saya ditendang dari luar,” kata penuntut sarjana Universiti Putra Malaysia (UPM), Nur Ruqayyah Abdul Rahman yang berpurdah itu  awal pagi ini.

Beliau yang turut kehilangan telefon bimbit akibat insiden itu berkata demikian ketika berkongsi detik cemas itu bersama mahasiswa dan orang ramai.

Kebanyakan mereka kesal kerana kumpulan samseng itu dibiar bermaharaja lela walaupun balai polis bergerak terletak hanya 10 meter dari lokasi perkhemahan.

Seorang saksi lain kesal kerana polis enggan memberi bantuan walaupun beliau merayu bantuan tetapi anggota pihak berkuasa itu memberi alasan ‘bimbang keselamatan mereka terancam’.

(Kiri: Khemah mahasiswa yang dirosakkan kumpulan samseng.)

Dalam kejadian itu, samseng turut melontar kata-kata kesat dan mencampakkan cermin mata aktivis sosial, Fahmi Reza manakala rakannya, Boon Kia Meng, seorang pensyarah institusi pengajian tinggi swasta, ditumbuk.

“Sebaik saja keluar khemah akibat kekecohan itu, saya hanya duduk tanpa membalas cercaan mereka. Sebaliknya, mereka ambil dan campak cermin mata saya. Kia Meng di sebelah pula ditumbuk,” katanya.

Kamera Nurul Haniza Mohamad, 24, pula rosak selepas ia dirampas ketika dikerumuni lima atau enam samseng.

“Mereka tarik baju dan beg saya. Ada seorang tunjal kepala saya sambil menghambur kata-kata kesat,” katanya yang berasal dari Batu Arang, Selangor.

(Kanan: Kebiadapan samseng tidak mematahkan semangat mahasiswa untuk terus berkhemah sehingga 28 April ini.)

Seorang ahli Unit Amal Mohd Kassim Abdullah, 24, pula ditampar dua kali, malah disiram air oleh sekumpulan samseng berkenaan.

Sungguhpun berdepan kekasaran samseng itu, semua mahasiswa dan kumpulan penyokong tetap bersemangat, malah membuat ketetapan untuk terus kekal berada di situ.