Wednesday 25 April 2012

Rumah RM4 juta artis ada hubungan dengan menteri



(Banglo 3 tingkat bernilai RM4 juta yang dimiliki seorang artis di The Valley, Taman Bukit Indah, Ampang)

 Seorang artis yang didakwa mempunyai hubungan dengan seorang menteri telah menduduki sebuah rumah berharga RM3 juta mulai awal bulan ini.

Rumah tiga tingkat beralamat di No 18, Jalan Lembah TTDI 3, Taman Bukit Indah (The Valley), Ampang adalah didakwa milik pelakon yang dikaitkan dengan seorang menteri kabinet.

Menurut sumber, rumah tersebut berharga RM3 juta dan pelakon tersebut telah memasuki rumah itu awal April lalu.

Malah menurut sumber itu lagi, artis wanita itu telah melakukan pengubahsuaian ke atas rumah tersebut dengan kos sebanyak RM1 juta.

Bagaimanapun, sumber itu memberitahu, rumah itu tidak dibeli atas nama artis berkenaan tetapi atas nama salah seorang ahli keluarganya.

Bagaimanapun segala urusan berkaitan ubahsuai rumah itu dilakukan oleh artis berkenaan.

Tinjauan Harakahdaily mendapati di bahagian hadapan kediaman tersebut turut terdapat pondok pengawal dan beberapa kamera CCTV dipasang di sekeliling rumah.

Sumber turut menyatakan, pelakon tersebut juga turut memiliki seorang jurulatih gimnasium peribadi yang akan melatih beliau di sebuah kelab dalam kawasan perumahan tersebut.

Dalam pada itu, beliau sebelum ini pernah memberitahu kepada penduduk taman tersebut bahawa beliau sudah berkahwin dan suaminya hanya datang bila ada masa terluang.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin mendedahkan pemberian wang tunai yang dianggarkan berjumlah RM1.5 juta yang didakwa dilakukan oleh seorang menteri kepada seorang artis hanya dalam tempoh empat bulan.

Beliau mendedahkan maklumat itu berdasarkan laporan polis yang telah dibuat oleh bekas pemandu peribadi artis terbabit.

Menteri dan artis nafi

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wilayah dan Luar Bandar Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menafikan beliau mempunyai hubungan dengan seorang artis wanita bernama Zahida Mohd Rafik.

Mohd Shafie kelmarin menafikan dakwaan yang dibuat ke atas sebelum ini dan mengancam untuk mengambil tindakan saman kepada mereka yang mengaitkan dirinya.

Pelakon berkenaan, Zahida juga turut tampil menafikan dakwaan itu Jumaat lalu dan berkata peguamnya juga sedang meneliti kes berkenaan.

Mahasiswa terus bertahan di Dataran Merdeka



 Biarpun beberapa kali dirempuh penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), semangat anak-anak muda yang berkhemah di Dataran Merdeka tidak patah, yang kini sudah masuk hari ke-12.

Dilarang mendirikan khemah, kini mereka duduk berpayung dari terikan matahari di sebuah sudut di Dataran Merdeka.

Jika sebelum ini mereka berkumpul di sudut berdekatan air pancut, selepas ditutup dengan pita kuning DBKL, mahasiswa ini beralih ke arah padang.

Seorang mahasiswa yang telah berada di sana sejak 12 hari lalu, Alif Asyraf, berkata mereka cuba bertahan untuk terus berada di dataran tersebut hingga menjelang himpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini.

Menyedari mungkin DBKL akan melakukan lebih banyak sekatan menjelang Bersih 3.0, pelajar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu berkata kumpulan mahasiswa itu cuba tidak berganjak dari situ bagi menuntut pendidikan percuma di negara ini.

Hari ini menyaksikan beberapa aktivis berada di tapak mereka berkhemah, manakala sebahagian mahasiswa pula berada di mahkamah.

Biarpun tidak dibenarkan memasang khemah, mereka tetap berkumpul dan berpayung bagi melindungi diri mereka dari terik matahari.
Orang ramai dilihat turut menyinggah ke kawasan mahasiswa tersebut untuk menyatakan sokongan dan menghulurkan sumbangan.

Tengah malam tadi, DBKL didakwa menyerbu ke atas perkhemahan mahasiswa dan dikatakan merampas dua kotak derma yang berisi kira-kira RM200.

Serbuan itu merupakan serbuan ketiga DBKL ke atas mahasiswa tersebut dalam tempoh kurang 24 jam.

Dalam serbuan sebelum ini, enam mahasiswa ditahan, dan dibebaskan kemudiannya dengan jaminan.

Seorang dari mereka, Umar Mohd Azmi, bagaimanapun didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas dakwaan menghalang tugas pegawai DBKL, dari menahan aktivis, Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin.